Selasa, 30 Jun 2015

MAYAT LELAKI TANPA TANGAN DAN KAKI DIPERCAYAI DIBAHAM BUAYA

BELURAN: Mayat seorang lelaki tanpa tangan dan kaki dipercayai dibaham buaya dijumpai terapung di Sungai Paitan di Kampung Kabuluh di sini, hari ini. Ketua Polis Daerah Beluran, Superitendan Sivanathan Velautham, berkata mangsa dikenali sebagai Ramsah Alau, 57, dan mayatnya ditemui pada kira-kira 7.40 pagi oleh penduduk kampung kira-kira tiga kilometer dari tempat dia dilaporkan hilang semalam. "Mayat mangsa dihantar ke Hospital Pitas untuk bedah siasat," katanya ketika dihubungi Bernama. Katanya, anak perempuan mangsa melaporkan bapanya keluar rumah pada jam 9 pagi semalam untuk menebas rumput di kawasan kebun berhampiran rumah lama mereka di kampung itu

Bagaimanapun, katanya sehingga jam 3 petang, mangsa belum balik ke rumah dan anak perempuan itu meminta bantuan penduduk kampung mencari bapanya. Katanya, penduduk kampung kemudian menjumpai selipar berwarna biru dan topi putih milik Ramsah di tebing sungai berhampiran kebunnya. Sivanathan berkata, pada jam 5.35 petang, pihaknya dimaklumkan oleh dua penduduk kampung bahawa mereka ada ternampak seekor buaya yang timbul dan mengigit sesuatu objek seperti manusia berpakaian putih kira-kira satu kilometer dari tempat kejadian. Beliau berkata, susulan itu operasi mencari dilancarkan hari ini membabitkan anggota polis, Jabatan Pertahanan Awam dan penduduk kampung. Katanya, polis menasihatkan penduduk kampung berkenaan supaya mengambil langkah keselamatan berikutan insiden serangan buaya itu. - BERNAMA

20 DISAHKAN MAUT, PESAWAT HERCULES TENTERA INDONESIA TERHEMPAS DI MEDAN

MEDAN: Sejumlah 20 orang telah disahkan terkorban dalam nahas pesawat Hercules milik Angkatan Udara Tentera Nasional Indonesia (TNI) yang jatuh terhempas di perkampungan di Simalingkar, Medan, Sumatera Utara pada Selasa.

Terdahulu, Ketua Polis Medan Mardiaz Dwihananto menegsahkan tentang penemuan beberapa mayat yang dikeluarkan dari bangkai pesawat dan dari bawah runtuhan bangunan di kawasan nahas.

Lokasi pesawat itu jatuh terhempas tidak jauh daripada Pangkalan Udara Soewondo atau dahulunya dikenali sebagai Lapangan Terbang Polonia Medan, lapor portal berita negara itu.

Pesawat itu berangkat pada jam 12.08 tengah hari waktu tempatan dari pangkalan udara berkenaan dan terhempas dua minit kemudian selepas melalui jarak lima kilometer.

“Pesawat berkenaan digunakan dalam urusan logistik TNI. Belum dipastikan berapakah jumlah mangsa. Selain juruterbang, pesawat itu turut membawa kru lain,” kata jurucakap tentera Fuad Basya.

Setakat ini  gambar mengenai kemalangan itu banyak disebarkan ke media sosial, termasuk yang menunjukkan fiuslaj pesawat yang masih terbakar dan menyelubungi kawasan sekitar dengan asap hitam. Beberapa bangunan di kawasan nahas juga musnah.

Pihak berkuasa belum dapat mengetahui punca pesawat itu hilang kawalan lalu terhempas mahupun jumlah korban, namun usaha mencari dan menyelamat mangsa sedang dijalankan. 

Seorang saksi di tempat kejadian juga memberitahu dia melihat sendiri bagaimana pesawat itu jatuh menjunam lalu memusnahkan beberapa buah rumah di kampung tersebut.

UPDATE (1 Julai 2015) : 

Angka kematian telah meningkat kepada 141 orang setakat ini menurut polis tempatan.

Sumber : di sini

PESAWAT SOLAR IMPULSE 2  MENGELILINGI DUNIA

TOKYO : Pesawat revolusi Solar Impulse 2 berlepas dari Jepun hari ini untuk menuju ke Hawaii, dalam usaha untuk mengelilingi dunia menggunakan pesawat itu yang dijana matahari sepenuhnya. Juruterbang Switzerland Andre Borschberg, 62, meninggalkan bandar Nagoya kira-kira jam 3 pagi (waktu tempatan), lima hari selepas masalah cuaca yang memaksa penganjur untuk membatalkan percubaan awal. "Ia berlepas pada jam 3.04 minit pagi," kata jurucakap Elke Neumann.


Beberapa jam kemudian, pesawat berteknologi tinggi itu kekal berada di udara walaupun ia berkemungkinan berpatah balik berikutan belum menemui titik pusingan. Masanya mungkin tiba apabila Solar Impulse begitu komited untuk cuba menyeberangi Lautan Pasifik dan tidak akan kembali ke Jepun. "Kita akan dapat maklumat itu kira-kira jam 11.30 pagi (waktu tempatan)," katanya. Perjalanan ke Hawaii adalah sejauh 7,900 kilometer dan pesawat itu dijangka terbang sekurang-kurangnya lima hari lima malam. Solar Impulse sedang dalam pusingan kelapan mengelilingi bumi, tetapi dengan ketiadaan daratan selepas meninggalkan Jepun, ia adalah fasa paling berisiko setakat ini. Borschberg berkata, untuk kekal cergas sepanjang penerbangan solo itu, dia akan membuat yoga dan akan tidur selama 20 minit pada satu masa, kebiasaannya pada waktu malam. Terdahulu, dia mengakui tinggal di dalam kokpit bersaiz 3.8 meter padu untuk jangka waktu yang lama adalah satu cabaran besar. - AFP

Selanjutnya di : bharian

KEMATIAN SI TAMA, KUCING PENJAGA KERETAPI

Salah seekor kucing yang paling disayangi di Jepun, yang memenangi hati penduduk Jepun dengan bekerja sebagai manager sebuah stesen keretapi, telah mati dan akan dikebumikan dalam satu majlis pada hujung minggu ini.

Tama, seekor kucing yang berusia 16 tahun, telah menarik beribu-ribu pelancong ke stesen keretapi kecil Kishi di Wakayama selepas ia secara rasmi dilantik sebagai manager stesen pada tahun 2007.

Kejayaan dalam menjalankan peranannya menyebabkan ia diberi anugerah daripada gabenor Wilayah Wakayama pada tahun 2008 dan kenaikan pangkat ke Super-manager di Wakayama Electric Railway pada tahun 2013.

Sebelum kewujudan Tama di stesen tersebut, stesen itu hampir bankrap  dan selalu kehilangan pekerja.

Tama, yang kemudiannya diambil bekerja bersama uniform khas dengan cepatnya menarik ramai pengunjung ke stesen keretapi terbabit seterusnya menyelamatkan ekonomi di kawasan tersebut.

Kucing itu diberikan penghargaan kerana meramaikan jumlah pengunjung yang menggunakan Kishigawa Line sebanyak 55,000 orang seterusnya menjana 1.1 billion yen (RM 338 juta) untuk ekonomi tempatan.

Antara yang bersedih dengan pemergian Tama yang mati kerana kegagalan jantung adalah Yoshinobu Nisaka yang berkata "Tama adalah kucing yang sangat popular di sini dan di luar dikenali sebagai bintang pelancongan. Atas berita pemergiannya, saya mahu meluahkan kesedihan dari dalam hati saya".

Syarikat keretapi terbabit bercadang untuk mengadakan pengebumian Tama stesen pada hujung minggu ini. Tempat Tama akan digantikan dengan seekor kucing pelatih, Nitama.

Sumber : di sini